X
Selasa, 26 Februari 2019 | 3:42pm
SUSPEK bersama senjata api yang dibelinya dari Indonesia, ketika ditahan di Balai Polis Tebedu, Serian. - Foto Melvin Joni
SUSPEK bersama senjata api yang dibelinya dari Indonesia, ketika ditahan di Balai Polis Tebedu, Serian. - Foto Melvin Joni
SENJATA api yang cuba dibawa masuk oleh suspek melalui ICQS Tebedu, Serian. - Foto Melvin Joni
SENJATA api yang cuba dibawa masuk oleh suspek melalui ICQS Tebedu, Serian. - Foto Melvin Joni

Sorok senjata api di dalam kereta

SERIAN: Seorang lelaki tempatan ditahan disyaki membawa masuk senjata api dari Indonesia ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, senjata api itu ditemui disorok di dalam ruang penyimpanan tayar ganti kereta suspek hasil pemeriksaan dijalankan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kawalan Sempadan.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata terdahulu suspek berusia 33 tahun yang berasal dari Kampung Sikog, Jalan Penrissen, di sini, memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan dari arah Indonesia masuk ke negeri ini melalui ICQS Tebedu.

“Pemeriksaan terhadap kenderaannya menjumpai selaras senapang patah dan 12 kotak dipercayai mengandungi peluru dibeli dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, hasil pemeriksaan turut menjumpai pakaian seragam Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di dalam kereta terbabit.

Beliau berkata, semua barang berkenaan dirampas dan suspek dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Berita Harian X