Selasa, 26 Februari 2019 | 7:12pm
PEMBANTU Pegawai Pembedahan IJN, Muhammad Ashraff Baruji saksi ke-16 hadir bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Adib guna isyarat cerita dia dipukul

SHAH ALAM: Seorang Pembantu Pegawai Pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, yang Muhammad Adib Mohd Kassim, menunjukkan isyarat dipukul berhubung kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata pada suatu malam selepas menjalankan fisioterapi, dia berkomunikasi dengan Muhammad Adib dengan bertanya adakah Muhammad Adib ingat apa yang berlaku kepadanya.

Saksi ke-16 itu berkata, pada mulanya Muhammad Adib menggelengkan kepala sebelum meminta dia bercerita sekiranya sudah bersedia.

“Bila saya nak beredar, Adib tarik lengan baju saya dan angguk, dan tunjuk isyarat nak tulis.

“Saya bagi papan putih. Saya tanya kepada Adib, Adib kena tarik ke? Dia tunjuk isyarat (tarik) guna tangan kiri dengan meletakkan di atas bahu.

“Saya tanya lagi, Adib jatuh ke? Adib geleng kepala dan buat isyarat pusing-pusing tangan.

“Saya tanya lagi, jatuh ke? Adib geleng kepala dan buat tangan pusing-pusing sebelum saya tanya, Adib ingat Adib kena pukul ke?

“Dia angguk. Saya tanya Adib sedar time (masa) Adib dekat mana? Dia guna tangan kiri tunjuk ke bawah (di sini),” katanya ketika ditanya Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Muhammad Ashraff menceritakan keadaan itu dalam nada sebak sambil beberapa kali mengesat air mata hingga Koroner Rofiah Mohamad menangguhkan prosiding seketika.

Muhammad Ashraff berkata, dia terus menghentikan soalan dan meminta Muhammad Adib berehat selepas mangsa kelihatan resah sambil menggerakkan kaki dan tangannya.

Selain itu, Muhammad Ashraff berkata dia ada menemankan Muhammad Adib menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Malaysia di televisyen.

Katanya, Muhammad Adib kelihatan amat bersemangat dan mengangkat tangan kiri ketika pasukan Malaysia berjaya menjaringkan gol.

“Apa yang paling saya kesal, Adib mahu air buah. Saya kata Adib kena cepat sihat, Ashraff orang pertama yang akan belikan di bawah,” katanya.

Muhammad Ashraff berkata, isi perbualan antaranya dengan Muhammad Adib tidak pernah diceritakan kepada sesiapa kerana menganggap itu sebagai rahsia antara pasukan perubatan dengan pesakit.

Bagaimanapun, dia menceritakan perkara itu kepada Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, pada Hari Krismas atau malam Krismas.

Katanya, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Muhammad Adib adalah sebelum mangsa kembali kritikal.

Prosiding bersambung esok.

Berita Harian X