Selasa, 26 Februari 2019 | 9:35pm
PEGAWAI Pembedahan IJN, Muhammad Ashraff Baruji hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Adib kerap tulis nama ibu bapa, tunang

SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kerap menulis tiga nama yang mahu ditemuinya di papan putih, sepanjang mangsa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, akhir tahun lalu.

Saksi ke-16, Pembantu Pegawai Pembedahan di IJN, Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata, nama itu adalah ibu, bapa dan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi.

“Dia kerap menulis beberapa nama di papan putih dan meminta saya untuk memanggil ibu, bapa dan tunangnya.

“Adib ada juga tulis satu nama rakan baik dia, tapi saya tak pasti namanya,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Muhammad Ashraff berkata, hubungannya dengan Muhammad Adib agak rapat dan mereka sering berkomunikasi memandangkan dia antara pasukan yang menjaga anggota bomba itu.

Katanya, Muhammad Adib pernah bertanya berapa lama dia perlu berada di situ.

Muhammad Ashraff berkata, kali pertama, dia perasan Adib menulis di papan putih, dengan tangan kiri.

“Saya tanya Adib kidal? Dia angguk. Tetapi tulisan dia kadang-kadang boleh dibaca, kadang-kadang tidak.

“Jika Adib mengangguk, ia bermakna ya dan jika anggota bomba itu menggelengkan kepala, ia bermaksud tidak.

“Kadang-kadang dia gunakan isyarat dengan tangan seperti ‘time-out’. Maksudnya dia mahu berhenti atau isyarat dengan tangan maksudnya tidak ada,” katanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok dengan dua saksi, orang awam dan bomba.

Berita Harian X