Rabu, 27 Februari 2019 | 9:37pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kiri) dan Peguam Negara, Tommy Thomas. - Foto NSTP

KPN sahkan terima laporan dibuat Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan menerima laporan dibuat peguam negara, Tommy Thomas berkaitan isu yang mengaitkannya dengan sikap anti-Islam.

Mohamad Fuzi berkata siasatan terhadap kes terbabit sudah pun dimulakan selepas laporan diterima hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“PDRM sudah menerima satu laporan pada 27 Februari daripada pihak peguam negara ekoran terkesannya posting di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp yang berbunyi, ‘Dah blh perangi golongan haprak ni- Peguam Negara dah bersuara: Penghinaan Nabi dan Islam bukan penjenayah, merrka berhak lontarkan pandangan (Tommy Thomas)’,“ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Tommy diwakili dua pegawai khasnya, Amir Nasarudin dan Siti Rahayu Mumazaini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 3.15 petang tadi.

Kedua-dua pegawai khas terbabit dilihat keluar dari pekarangan IPD Putrajaya jam 4.45 petang menaiki Proton Perdana kelabu.

Menerusi sebuah portal berita, Tommy dilaporkan berkata, ada pelbagai mesej beredar di media sosial yang menuduhnya tidak senang kepada Islam.

Beliau berkata, perkara berkenaan tidak benar dan beliau membuat laporan polis supaya ia boleh disiasat.

Berita Harian X