Khamis, 28 Februari 2019 | 6:03pm

Lelaki cekik isteri mahu pulang ke rumah ibu bapa

LIMBANG: Seorang lelaki didakwa mencederakan, termasuk mencekik isterinya yang mahu pulang ke rumah ibu bapa wanita itu, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah panjang, mangsa berusia 22 tahun dikatakan bertengkar dengan suspek berumur 18 tahun apabila hasratnya itu dihalang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada sikap suspek yang enggan menuruti permintaan mangsa untuk pulang ke rumah ibu bapanya.

Beliau berkata, suspek didakwa mulai berang apabila mangsa merajuk dan sukar dipujuk, sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

“Tersinggung dengan kata-kata kesat itu, mangsa memukul mulut suspek menggunakan bantal,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek membalas tindakan mangsa dengan mencekik leher isterinya itu sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan pada leher, selain sakit pada anggota badan lain,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Bukhori berkata, suspek ditahan polis di sebuah rumah panjang di Medamit, semalam, selepas mangsa membuat laporan pada Selasa lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Berita Harian X