Khamis, 28 Februari 2019 | 8:40pm
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Penulis, penyebar fitnah peguam negara diminta serah diri

ALOR SETAR: Polis memberi amaran supaya individu yang membuat kenyataan dan menularkan fitnah dalam media sosial menuduh Peguam Negara, Tommy Thomas bersikap anti-Islam, menyerah diri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata polis menerima laporan berkaitannya kelmarin dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Siasatan sedang dilakukan dan mereka yang membuat tohmahan fitnah dan mereka yang viralkan kini sedang dikenal pasti maka mereka ini digalakkan menyerah diri.

“Apabila sudah buat salah, jadilah ‘gentleman’, tampillah, polis akan melaksanakan tugas mengikut peruntukan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 300 anghita dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

BH Online semalam melaporkan polis menerima satu laporan semalam daripada pejabat peguam negara berhubung penularan hantaran Facebook dan WhatsApp menggambarkan peguam negara sebagai anti-Islam.

Tuduhan itu adalah berikutan dakwaan pihak tertentu yang menganggap kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menghina Nabi Muhammad dan Islam, walaupun dua suspek kes sudah didakwa sehingga ini.

Noor Rashid berkata polis sedang memburu kira-kira 10 individu yang dikenal pasti memuat naik kenyataan menghina agama hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi menyegerakan siasatan selain memburu individu yang dikenal pasti.

"Semalam (kelmarin), saya mengarahkan kes seumpama (hina agama) ini disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya.

Berita Harian X