Jumaat, 1 March 2019 | 10:04am
Suspek yang membelasah dan menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi ini.
Suspek yang membelasah dan menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi ini.

Suspek serang, samun wanita dalam lif MRT didakwa hari ini

KUALA LUMPUR: Suspek yang membelasah dan menyamun seorang wanita dalam kejadian di sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan, berkata lelaki berusia 26 tahun itu akan didakwa enam pertuduhan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, dan masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun sama.

“Dua lagi pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan danSeksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya, hari ini.

Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak bersenjata pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu memecah masuk rumah memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk kesalahan mencuri, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam kediaman, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Selain membelasah dan menyamun wanita itu, suspek juga didapati pernah melakukan jenayah samun kedai serbaneka di Taman Tayton View, Cheras; pecah masuk pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Taman Segar, Cheras dan curi kenderaan di Jalan Kas-kas Taman Segar.

Selain itu, dia juga didapati memecah masuk sebuah kedai telefon bimbit di Taman Connaught, Cheras serta samun di sebuah kediaman di atas sebuah rumah kedai di Jalan Manis, Taman Segar, Cheras.

Dalam kejadian 14 Februari lalu itu, seorang wanita berusia 48 tahun cedera akibat ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen MRT berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum menyerang serta melarikan barangan milik mangsa.

Suspek akhirnya berjaya diberkas di sebuah rumah di Taman Cheras, Jalan Cheras, Isnin lalu sebelum direman 14 hari.

Berita Harian X