Jumaat, 1 March 2019 | 5:14pm
ORANG ramai menyertai himpunan bantahan Hina Nabi Muhammad anjuran NGO Ummah Perak selepas solat Jumaat di perkarangan Medan Selera Dataran Dato Sagor, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
ORANG ramai menyertai himpunan bantahan Hina Nabi Muhammad anjuran NGO Ummah Perak selepas solat Jumaat di perkarangan Medan Selera Dataran Dato Sagor, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Penghina Nabi perlu dikenakan hukuman setimpal

Oleh Shaarani Ismail; Ifwan Tun Tuah; Nor Fazlina Abdul Rahim; Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Samadi Ahmad

[email protected]

IPOH: Kira-kira 500 orang menghadiri Himpunan Ummah Bantah Hina Nabi anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Ummah, di perkarangan Medan Selera Dato' Sagor bersebelahan Masjid Sultan Idris Shah II, selepas solat Jumaat hari ini.

Program yang turut dianjurkan secara serentak di 15 lokasi lain di seluruh negeri itu dibuat sebagai tanda solidariti umat Islam bagi membantah penghinaan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Penyelaras program berkenaan yang juga Ahli Jawatankuasa Jaringan Ummah, Fairuz Hafiz Othman, berkata himpunan itu dilaksanakan bagi memberitahu seluruh masyarakat betapa umat Islam sangat mencintai Nabi Muhammad SAW.

“Solidariti ini sebagai menunjukkan bahawa umat Islam akan bangkit jika ada pihak terus mempermainkan dan mempersendakan agama Islam.

"Kita melihat isu ini pada hari ini sebagai satu ancaman kepada keharmonian agama dan bangsa jika ia berterusan berlaku dan tidak ada tindakan tegas diambil bagi menanganinya, ia akan menjadi sesuatu yang tidak baik kepada perpaduan bangsa dan agama dalam negara,” katanya.

Di KELANTAN, 3,000 rakyat Kelantan mengadakan himpunan aman selepas kuliah mingguan di Medan Ilmu, Kota Bharu bagi membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, termasuk mendesak Kerajaan Pusat mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina Nabi.

Himpunan berkenaan diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Asri Daud.

Di JOHOR, lebih 500 orang menghadiri Himpunan Rakyat Jangan Hina Nabi Kami peringkat negeri di hadapan Masjid Bandar Baru Uda di sini, selepas solat Jumaat, hari ini.

Perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS dan Pemuda UMNO negeri itu berjalan lancar dengan turut disertai wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 500 jemaah sertai perhimpunan bantah penghinaan terhadap Rasulullah di Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights Senawang,

Pengerusi masjid, Mohd Asna Amin, turut menyerahkan memorandum meminta tindakan tegas diambil terhadap penghina Islam kepada Ketua Balai Polis Paroi, Sarjan Mejar Mohd Rani Dahlan, untuk disampaikan kepada Ketua Polis Negara.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, lebih 50 ahli Hizbut Tahrir Malaysia berhimpun Dataran Putra di hadapan Masjid Putra di sini, sebagai tanda membantah tindakan segelintir pihak yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW serta isterinya Saidatina Aisyah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X