X
Isnin, 4 March 2019 | 6:33pm
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Jaafar Mahad (tengah) menyaksikan Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas antara Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad (kiri) kepada Datuk Shaharom Nizam Abd Manap di Bangunan Persekutuan. - Foto Noorazura Abdul Rahman
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Jaafar Mahad (tengah) menyaksikan Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas antara Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad (kiri) kepada Datuk Shaharom Nizam Abd Manap di Bangunan Persekutuan. - Foto Noorazura Abdul Rahman

SPRM pantau salah laku penjawat awam

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang menubuhkan pasukan khas memantau salah laku membabitkan penjawat awam negeri ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata badan bertindak itu ialah inisiatif baharu yang dapat membantu mengurangkan kes rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.

“Kita akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus negeri untuk mencadangkan penubuhan ‘task force’ (pasukan khas) ini, selain berbincang mengenai usaha SPRM dalam membanteras rasuah.

“Pada masa yang sama, kita akan berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) untuk berbincang mengenai hal ini, termasuklah pendekatan baharu untuk menambah baik usaha SPRM sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah di sini, hari ini.

Shaharom yang sebelum ini Pengarah SPRM Sabah dilantik sebagai Pengarah SPRM Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang bertukar ke Perak.

Sementara itu, Mohd Fauzi ketika berucap pada majlis itu berkata, antara 55 tangkapan yang dibuat pada 2018, seramai 29 penjawat awam ditahan, terdiri daripada 15 kakitangan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 14 lagi kumpulan sokongan.

Katanya, sejak Januari sehingga semalam pula, seramai 36 individu ditahan termasuk lapan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

“Sebanyak 24 kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu dan tiga kes disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk suapan.

“Masing-masing dua kes membabitkan Seksyen 17b akta yang sama memberi dan menerima rasuah serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Berita Harian X