Selasa, 5 March 2019 | 12:54pm
SEORANG murid lelaki Tahun Dua maut dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbahraya, Tawau. - Foto IHSAN PDRM.

Murid Tahun Dua maut dilanggar depan sekolah

TAWAU: Seorang murid lelaki Tahun Dua maut akibat dilanggar sebuah van di hadapan sekolahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbahraya, Muhammad Addrieyansya Adnan, 8, dikatakan sedang menunggu bas sekolah untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Batu Darat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah van persendirian dipandu seorang lelaki berumur 37 tahun yang mengambil beberapa murid di hadapan sekolah terbabit.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila pemandu van jenis Nissan Urvan itu didakwa mengundurkan kenderaannya sebelum terdengar bunyi dentuman ketika hendak bergerak ke depan.

“Mangsa kemudian didapati terbaring di bahagian hadapan sebelah kiri van itu lalu dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati van persendirian itu tidak memiliki permit bas sekolah.

“Berikutan itu, pemandu van ditahan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Adnan Abdullawi, 30-an, ketika ditemui berkata mangsa yang juga anak sulung adalah seorang periang dan penyayang kepada semua empat adiknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, seminggu sebelum kejadian, mangsa lebih banyak mendiamkan diri, tidak seperti selalu yang suka bergurau dan bermain bersama adik-beradik lain.

“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja dan terkejut apabila mendapat tahu Muhammad Addrieyansya terbabit kemalangan. Hasil bedah siasat, anak saya mengalami kecederaan dalaman pada bahagian kepala,” katanya.

Adnan berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islamiah Tawau, pagi tadi.

Berita Harian X