Selasa, 5 March 2019 | 6:43pm

Nelayan selamatkan ikan lumba-lumba

KUALA SELANGOR: Seorang nelayan di sini menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, Sungai Sembilang, petang tadi.

Nelayan itu, Husin Jaumar, 58, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, beliau ternampak objek kehitam-hitaman kira-kira 10 meter dari pantai.

“Pada awalnya, saya nampak ‘benda’ hitam dan tertanya-tanya apakah benda itu lalu mendekatinya dan kemudian mendapati ia adalah seekor ikan lumba-lumba.

“Ketika menemuinya, ia kelihatan agak lemah dan terdampar di kawasan berbatu. Risau badannya luka terkena batu, saya segera mengalih ikan itu ke kawasan bersebelahan yang tidak berbatu seterusnya menghubungi talian kecemasan 999,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Husin berkata, ikan lumba-lumba itu dianggarkan sepanjang 1.2 meter dan berat boleh mencecah sehingga 40 kilogram.

Katanya, itu adalah kejadian pertama dialaminya dan kebiasaannya beliau hanya melihat ikan itu ketika turun memukat ikan di tengah laut.

“Ia adalah ikan tengah laut dan berkumpulan, jadi saya pelik bila lihat ia terdampar di tepi pantai. Mungkin ia tersesat dari kumpulannya kemudian terdampar di sini kerana air laut surut ketika itu,” katanya.

Husin berkata, beliau dan beberapa rakan kemudian berjaya melepaskan ikan itu ke tengah laut sebaik saja air kembali pasang, walaupun pada cubaan awal ikan itu kembali ke pantai selepas dilepaskan.

HUSIN Jaumar menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, Sungai Sembilang, petang tadi. - Foto Ihsan APM
HUSIN Jaumar menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, Sungai Sembilang, petang tadi. - Foto Ihsan APM
Berita Harian X