X
Selasa, 5 March 2019 | 7:32pm

Patah jari kelingking dipukul ibu

JERTIH: Seorang remaja perempuan nekad keluar dari rumah bersama dua adiknya selepas tidak tahan dipukul ibu mereka di Kampung Gong Pasir, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.45 malam ketika mangsa berusia 15 tahun berada di rumah bersama suspek serta adik lelaki dan perempuannya yang masing-masing berusia tujuh tahun sebelum wanita itu dikatakan tiba-tiba mengamuk dan mahu memukul adik lelaki mangsa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata suspek berusia 44 tahun dikatakan bertindak sedemikian selepas dipercayai mengalami masalah kewangan.

“Mangsa yang melihat kejadian itu menghalang perbuatan ibunya menyebabkan suspek naik angin lalu menarik rambut mangsa sebelum remaja itu berjaya keluar dari rumah bersama dua adiknya.

“Difahamkan, sebelum ini, mangsa yang tidak bersekolah itu dan bekerja sebagai jurujual pernah dipukul suspek selepas berlaku perselisihan faham pada 11 Februari lalu.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang dipukul dengan kipas patah jari kelingking tangan kanan namun tidak membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zamri berkata, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kampung Raja, suspek ditahan di rumahnya kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Katanya, suspek yang tidak bekerja direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak -Kanak 2001.

Berita Harian X