Rabu, 6 March 2019 | 12:22am

Suami isteri ditahan bantu siasatan budak hilang di Langkawi

LANGKAWI: Polis mengesan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di bawah jagaan mereka ketika berada di pulau ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan di Ampang dan akan dibawa pulang ke Langkawi untuk siasatan lanjut, esok.

“Kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Ampang pada jam 4 petang tadi.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak ditemui bersama mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Kehilangan Nur Aisyah Aleya Abdullah disedari ibunya, Rosmaliah Samo, selepas pergi ke kediaman pasangan itu di kuarters Hospital Langkawi untuk mencari anaknya, minggu lalu.

Rosmaliah kemudian membuat laporan polis pada Ahad lalu selepas seorang daripada suspek memberitahu kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga. – BERNAMA

Berita Harian X