Rabu, 6 March 2019 | 5:19pm

Mayat kanak-kanak tinggal cebisan

LANGKAWI: Mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh lebih dua minggu lalu, sebelum dibuang di Jalan Gunung Raya di sini, hari ini.

Mangsa, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, dipercayai dibunuh sepasang suami isteri berusia 37 dan 40 tahun pada 16 Februari lalu, namun kehilangannya hanya disedari ibunya, Rosmaliah Samo, 31, Sabtu lalu.

Rosmaliah yang juga warga Indonesia menyedari anaknya hilang selepas gagal menemui pasangan suami isteri itu di kediaman mereka di Kuarters Kakitangan Hospital Langkawi, sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Kuah pada tengah malam, Ahad lalu.

Difahamkan, wanita yang bekerja sebagai pembantu restoran di Padang Mat Sirat itu, meninggalkan anaknya untuk dijaga pasangan suami isteri itu kerana dia pernah tinggal bersama mereka sebelum ini.

Berikutan itu, polis kemudian bertindak mengesan pasangan suami isteri berkenaan sebelum mereka dikesan bersembunyi di Ampang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kemudian menahan pasangan suami isteri itu di Taman Melati, Ampang pada jam 4 petang semalam.


Mohd Iqbal menunjukkan lokasi cebisan mayat Nur Aisyah Aleya di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Katanya, berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek lelaki membawa polis ke satu lokasi di Jalan Gunung Raya, Langkawi sebelum menunjukkan tempat mayat kanak-kanak itu dibuang pada jam 11 pagi tadi.

“Hasil bantuan Unit Anjing Pengesan K9 dan anggota Unit Forensik Polis, pasukan penyiasat kemudian menemui mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan tinggal cebisan rambut dan tengkorak.

“Cebisan mayat itu ditemui dalam gaung curam setinggi kira-kira 30 meter dari jalan raya yang menghala ke puncak Gunung Raya,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki mendakwa mangsa mengalami sawan sebelum tidak sedarkan diri.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan mengalami sawan ketika berada bersama suspek sebelum berlaku pertengkaran antara lelaki itu dan isterinya.

“Suspek lelaki kemudian telah menepuk belakang mangsa beberapa kali sehingga tidak sedarkan diri sebelum mayatnya diletak di dalam beg dan dibuang ke dalam gaung,” katanya.

Pasangan suami isteri itu dikatakan turut bertindak membuat pertukaran sekolah anak mereka ke Johor dan menggunakan perkhidmatan syarikat pengangkutan bagi memindahkan barangan rumah mereka Jumaat lalu.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek dijangka direman pagi esok di Mahkamah Majistret di sini, dan kes disiasat mengikut Seksen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Nur Aisyah Aleya hilang sejak bulan lalu. - Ihsan PDRM

Berita Harian X