Khamis, 7 March 2019 | 2:00pm

'Danny A'antonio Jr' & 'Alvin Chow' direman hingga Ahad

KUALA LUMPUR: Dua suspek yang ditahan kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam akaun media sosial masing-masing, direman empat hari sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad depan,” kata beliau ringkas.

Perintah reman ke atas ke atas kedua-dua suspek dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi tadi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan, mengesahkan polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai Alvin Chow Mun Fai kerana mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Nabi Muhammad SAW dalam akaun Twitter ‘Alvin Chow’.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Selangor di pusat beli-belah Plaza Pudu, di sini, kira-kira jam 5 petang.

Suspek dikesan tinggal di Danau Kota, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur dan dikehendaki polis berikutan laporan yang dibuat kerana melakukan penghinaan ke atas agama Islam, dan Nabi Muhammad SAW.

Susulan tangkapan ke atas suspek, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau serta rekod dikehendaki polis.

Mohamad Fuzi dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan polis juga menahan seorang lagi lelaki yang memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui akaun Facebook menggunakan nama ‘Danny A’antonio Jr’.

Suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Miri, Sarawak itu diberkas oleh orang awam di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini sebelum diserahkan kepada polis dan kemudian dibawa ke IPD Serdang.

Berita Harian X