Khamis, 7 March 2019 | 2:08pm

Gigi, gumpalan rambut Nur Aisyah ditemui

LANGKAWI: Dua batang gigi dan dua gumpalan rambut antara penemuan terbaharu pada hari terakhir pencarian sebahagian mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di gaung Jalan Gunung Raya, di sini hari ini.

Bukti baharu itu ditemui jam 11 pagi dengan bantuan anjing jenis German Sheffard dari Unit Anjing Pengesan K-9 dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata operasi pencarian membabitkan 31 anggota termasuk polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, bermula jam 9 pagi tadi.

“Penemuan dua batang gigi dan gumpalan rambut itu dipercayai milik kanak-kanak terbabit dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Gigi dan gumpalan rambut itu ditemui pada jam 11 pagi selepas dua jam operasi dilakukan di kawasan berhampiran tengkorak dan cebisan rambut yang ditemui semalam.

“Radius pencarian cebisan mayat mangsa dilakukan pada jarak 500 meter dan anggota polis serta bomba turun ke cerunan akhir hingga ke kawasan landai yang mempunyai anak sungai kering,” katanya pada sidang media di lokasi penemuan rangka mayat mangsa di Gunung Raya, di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata, jarak kedalaman gaung dari atas ke bawah adalah pada kira-kira 200 meter.

Beliau berkata, di kawasan hutan ini terdapat banyak binatang liar, biawak dan mungkin cebisan anggota badan mangsa sudah dibawa lari jauh.

“Disebabkan itu kita melepaskan anjing pengesan dan hasil daripadanya kita menemui barang bukti milik mangsa di kawasan pencarian.

“Sekiranya radius pencarian dibesarkan lagi, ia akan mengambil masa yang lama namun penemuan bukti ini sudah cukup untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, gigi gumpalan rambut yang ditemui hari ini akan dibawa bersama tengkorak yang ditahan semula untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) esok.

Beliau berkata, setakat ini ibu kandung mangsa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk memberi keterangan dan semuanya sama seperti yang dimaklumkan melalui media.

“Kita akan memanggil kakitangan Hospital Langkawi untuk membantu siasatan dan setakat ini, kita sudah mengambil keterangan dari lapan orang saksi untuk membantu siasatan.

“Berkemungkinan besar bilangan saksi akan bertambah bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, setakat ini ibu mangsa dan suspek pasangan suami isteri itu sudah mengambil sampel darah ujian DNA bagi membantu siasatan.

“Operasi ini berakhir jam 1 petang tadi dan berkemungkinan akan dilakukan semula jika ada keperluan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah dilaporkan hilang ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi.

Bagaimanapun, polis menemui tengkorak dan cebisan rambut kanak-kanak terbabit di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya jam 11.30 semalam selepas hasil penahanan sepasang suami isteri ditahan di sebuah inap desa di Ampang, Selangor, kelmarin.

PASUKAN forensik Polis Diraja Malaysia ketika operasi mencari sebahagian cebisan mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah di Jalan Gunung Raya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman.
Berita Harian X