Jumaat, 8 March 2019 | 10:01am
BOT pukat tunda asing ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan berhampiran perairan Tinagat di Tawau. - Foto ihsan PMM
BOT pukat tunda asing ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan berhampiran perairan Tinagat di Tawau. - Foto ihsan PMM

6 nelayan Indonesia memukat di perairan Malaysia ditahan

TAWAU: Sebuah bot nelayan asing bersama enam warga Indonesia ditahan selepas dikesan menjalankan kegiatan menunda ikan di kawasan larangan berhampiran perairan Tinagat, dekat sini, kelmarin.

Bot pukat tunda itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas dikesan menjalankan kegiatan memukat di kawasan kurang dua batu nautika dari pantai, kira-kira jam 9.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika ditahan nelayan asing leka menjalankan kegiatan menunda sehingga tidak menyedari kehadiran anggota PPM.

“Juragan warga Indonesia berusia 30-an bersama lima kru warganegara sama ditahan dan hasil tangkapan kira-kira 80 kilogram ikan pelbagai jenis turut dirampas,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang remaja lelaki warga tempatan ditahan ketika cuba menyeludup keluar dua tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan perairan Ice Box, dekat sini, kelmarin.

Remaja berusia 17 tahun itu yang menaiki sebuah bot, dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan oleh anggota PPM Tawau untuk pemeriksaan pada jam 9.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata siasatan awal mendapati, remaja itu mengaku mahu menjual LPG terbabit di Indonesia melalui Pulau Sebatik.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut. Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Berita Harian X