Jumaat, 8 March 2019 | 9:17pm
ANGGOTA polis membawa suspek lelaki ketika melakukan pemeriksaan di Kuarters Hospital Langkawi. - Foto ihsan PDRM

Polis rampas penyangkut baju

LANGKAWI: Polis merampas dua penyangkut baju dan pakaian suspek lelaki ketika membuat pemeriksaan semula di rumah pasangan suami isteri yang ditahan berhubung kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3.

Dua bahan bukti itu dirampas polis di rumah suspek di Kuarters Hospital Langkawi, di sini, selepas ditunjukkan suspek lelaki pada jam 3 petang tadi.

Rampasan terbaru itu adalah bukti kedua selain toto yang ada titisan darah diambil polis dari lokasi kejadian bunuh kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang dipercayai berlaku pada 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejayaan itu berikutan pemeriksaan semula pasukan penyiasat yang turut membawa suspek lelaki dan wanita berusia 37 dan 40 tahun ke rumah berkenaan.

“Dua penyangkut baju yang dirampas itu dipercayai digunakan oleh suspek lelaki untuk mendera mangsa ketika mangsa dalam penjagaannya.


ANGGOTA polis membawa suspek wanita ketika melakukan pemeriksaan di Kuarters Hospital Langkawi. - Foto ihsan PDRM

“Panyangkut baju dan pakaian yang dipakai suspek lelaki pada hari kejadian yang dirampas akan dibawa ke Jabatan Kimia, Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Iqbal dilaporkan berkata, polis menemui cebisan mayat iaitu tiga gumpalan rambut, dua batang gigi dan satu tengkorak kepala mangsa di tempat pembuangan mayat oleh suspek dalam hutan Jalan Gunung Raya, di sini.

Difahamkan, cebisan mayat itu yang kini dalam simpanan polis dijangka dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, esok dan bedah siasat akan dilakukan pada Ahad ini, selepas itu cebisan mayat itu akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya di sini, pada jam 11 pagi Rabu lalu, selepas suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Selangor, menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.

Berita Harian X