Ahad, 10 March 2019 | 6:48pm
Peserta Himpunan Mahasiswi Ubah PTPTN di hadapan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman selepas berarak dari Masjid Jamek, hari ini.

Polis panggil penganjur himpunan PTPTN

KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Mahasiswi Ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini, akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata tindakan itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Penganjur tiada permit dari polis untuk mengadakan himpunan itu. Malah, kita dapati peserta berarak dari Masjid Jamek ke pusat beli-belah terbabit.

“Semua perkara itu kita akan siasat mengikut APA 2012,” katanya ketika ditemui di pekarangan Sogo, hari ini.

Terdahulu, lebih 50 mahasiswi berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke Sogo.

Himpunan anjuran Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) yang bermula kira-kira jam 2 petang itu, antara lain bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu yang hanya bergaji RM4,000 ke atas.

Beberapa peserta terbabit dilihat membawa beberapa sepanduk ‘Tuntut Janji’ dan ‘Tuntut Pendidikan Berkebajikan’ sambil melaungkan ‘Ubah PTPTN’.

Pada 17 November lalu, PTPTN dilaporkan mengakui tidak mampu menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata cadangan penangguhan pembayaran semula itu bakal memberi kesan buruk kepada institusi berkenaan bagi jangka masa panjang.

Berita Harian X