Selasa, 12 March 2019 | 11:16am
Anggota polis mengiringi bekas isteri Allahyarham Nazrin Hassan ketika hadir bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan pada Jun tahun lalu di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Balu, 2 remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund

SHAH ALAM: Balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu, Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan 13 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding sebutan semula kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim.

Samirah diwakili oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Tania Scivetti.

Dua remaja terbabit pula diwakili peguam, LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik, manakala S Selvi mewakili seorang lagi tertuduh warga Indonesia yang masih bebas.

Ketika pertuduhan dibacakan, Samirah dan dua remaja berkenaan yang duduk di luar kandang tertuduh, kelihatan tenang.

Ab Karim kemudian menetapkan 11 April depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Terdahulu, Samirah yang memakai baju kurung hitam dan bertudung kelabu serta dua remaja lelaki tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi dan ketibaan mereka disambut dengan tangisan anggota keluarga serta rakan-rakan yang memenuhi galeri awam.

Puluhan ahli keluarga tertuduh termasuk aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang berkerusi roda, juga kelihatan berada di galeri awam.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 75 saksi sudah dirakam percakapan.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya masih belum memutuskan berapa ramai saksi yang akan dipanggil.

Mahkamah dalam pada itu mengekalkan perintah larangan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya kepada pihak media sebelum ini, iaitu tidak mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal selain media dilarang mengambil gambar atau menyiarkan gambar kedua-dua remaja berkenaan yang masih di bawah umur di platform media cetak dan elektronik.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober 2018 membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Berita Harian X