Selasa, 12 March 2019 | 6:32pm
Najib hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya bagi mendengar rayuan berhubung kes yang dihadapinya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Seluruh negara mahu perbicaraan Najib bermula esok - Tommy

PUTRAJAYA: Prosiding empat rayuan interlokutori Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan kepada Jumaat ini berikutan peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu retak pergelangan tangan selepas anjing peliharaan melompat ke atasnya menyebabkan beliau terjatuh.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, akibat kecederaan itu beliau mahu mendapatkan rawatan dengan melakukan imbasan sinar X sekali gus tidak dapat meneruskan dengan hujahan.

"Anjing melompat ke atas saya," kata Shafee kepada panel tiga anggota yang terdiri daripada Zabariah Mohd Yusof, Lau Bee Lan dan Rhodzariah Bujang.

Peguam Negara Tommy Thomas bagaimanapun membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding rayuan itu kerana Pejabat Peguam Negara menerima tekanan awam supaya perbicaraan kes berjalan secepat mungkin.

“Semua orang mahu perbicaraan bermula seawal esok, ...ada tekanan berat ke atas pasukan pihak pendakwaan.

“Seluruh dunia pun sedang memerhati untuk melihat perbicaraan kes ini berjalan. Kami diperhatikan mengapa perbicaraan belum berjalan,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan dalam hujahannya mempersoalkan rasional rayuan Najib Razak yang memohon untuk mendapatkan semua kenyataan dan dokumen siasatan kes pecah amanah dan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya yang dilantik Pejabat Peguam Negara, Datuk V Sithambaram berhujah, Najib melalui peguam memohon untuk mendapatkan semua dokumen termasuk kenyataan saksi serta dokumen yang tidak digunakan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Beliau berkata, jika perintah yang dipohon dibenarkan mahkamah, pihaknya perlu menyerahkan kepada peguam bela kertas siasatan yang diperoleh pegawai penyiasat dalam siasatan kes SRC International mengikut Seksyen 30(9) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 40 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Persoalan utama yang perlu diajukan dalam rayuan ini ialah sama ada pihak pendakwaan tertakluk untuk menyerahkan dokumen yang tidak diperuntukkan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (KAJ).itu kepada pembelaan, ...kami katakan ‘tidak’.

“Rayuan ini adalah berhubung penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan kepada pembelaan sebelum perbicaraan kes bermula... Ia bukan rayuan mengenai sama ada dokumen boleh diterima atau tidak ketika prosiding perbicaraan seperti dibangkitkan peguam.

“Perayu (Najib) menyatakan bahawa semua kenyataan dan dokumen berkenaan boleh diterima masuk dalam perbicaraan secara automatik, oleh itu ia mesti diserahkan kepada pihaknya sebelum bicara, ...kami menyatakan hujahan itu tiada asas perundangan,” katanya.

Sithambaram berkata, melalui kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, menyatakan bahawa adalah jelas dalam prinsip perundangan bahawa penzahiran dokumen mengikut Seksyen 51A bagi ‘memancing’ bahan bukti, tidak boleh dibenarkan.

Sithambaram berkata demikian dalam prosiding empat rayuan interlokutori Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perintah larangan terhadap media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kesnya.

Najib juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen dan kenyataan saksi membabitkan kes itu, rayuan terhadap pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh pendakwaan.

Panel hakim kemudiannya membenarkan penangguhan dan menetapkan Jumaat 8:30 pagi untuk perbicaraan rayuan kali keempat dan terakhir.

Najib berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM42 juta daripada SRC, sebuah syarikat milik kerajaan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau, bersama anaknya, Norashman Najib, hadir di mahkamah hari ini.

Berita Harian X