Rabu, 13 March 2019 | 12:37pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Hukuman mati mandatori diganti hukuman mati atas budi bicara mahkamah

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata langkah itu selaras dengan janji ke-27 manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Justeru, katanya, kerajaan tidak ada cadangan untuk memansuhkan hukuman mati bagi mana-mana undang-undang yang ada di negara ini.

"Hukuman mati mandatori ini hanya membabitkan dua undang-undang iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971," katanya menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS- Tumpat) di Dewan Rakyat hari ini.

Che Abdullah dalam soalannya mahu mengetahui sama ada kerajaan membuat kajian terperinci sebelum membuat keputusan pemansuhan hukuman mati.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Che Abdullah mengenai penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen bagi membincangkan pemansuhan hukuman mati mandatori, Mohamed Hanipa berkata, setakat ini tiada jawatankuasa sedemikian.

Namun, katanya, cadangan itu sesuatu yang baik dan boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X