Rabu, 13 March 2019 | 4:01pm
Pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun ditahan di Ampang, Selangor, pada 5 Mac lalu, selepas disyaki terbabit membunuh Nur Aisyah Aleya di Kuarters Hospital Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Reman pasangan suami isteri bunuh kanak-kanak disambung

LANGKAWI: Tempoh reman pasangan suami isteri yang menjadi suspek kes bunuh kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, dilanjutkan tujuh hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Pegawai Daerah Langkawi, Muhamaf Arof Darus, selepas mendapat permohonan daripada pihak polis yang melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun ditahan di Ampang, Selangor, pada 5 Mac lalu, selepas disyaki terbabit membunuh kanak-kanak perempuan berkenaan di Kuarters Hospital Langkawi.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 16 Februari lalu, sebelum membuang mayat mangsa di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya, di sini.

Kehilangan mangsa disedari ibunya yang membuat laporan di Balai Polis Kuah pada 3 Mac lalu, sebelum usaha mengesan kanak-kanak itu dilakukan pihak berkuasa.

Berikutan itu, mayat mangsa hanya ditemui pada 6 Mac lalu, dalam keadaan hanya tinggal cebisan daging dan tengkorak akibat dimakan haiwan liar di kawasan gaung sedalam 30 meter.

Berita Harian X