Jumaat, 15 March 2019 | 11:47am
DUA lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan maut di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Mentakab, di sini. - Foto IHSAN POLIS
DUA lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan maut di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Mentakab, di sini. - Foto IHSAN POLIS

Dua pemandu maut kereta bertembung

TEMERLOH: Dua lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu menyebabkan Liew Kwong Fai, 42, yang memandu kereta jenis Nissan Almera dari Bahau, Negeri Sembilan dan pemandu kereta Proton Iswara, Hairol Asyraf Mohammad, 23, dari FELDA Lakum di sini, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood, berkata dalam kejadian itu, kereta Nissan Almera yang dipandu Kwong Fai yang juga jurujual alat ganti kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Mentakab.

“Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian, Nissan Almera itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara yang dipandu Hairol Asyraf bersama dua lagi penumpang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan dan sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini untuk proses bedah siasat.

“Dua lagi penumpang dalam Proton Iswara iaitu Sufi Salihin Mohd Puad Norasid, 17, cedera di perut dan kepala manakala NKesavan, 18, mengalami cedera di muka serta kaki kanan. Kedua-dua kini sedang mendapat rawatan lanjut di HOSHAS,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan sedikit berselekoh serta tidak rata.

“Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua kenderaan juga sudah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan,” katanya/

Berita Harian X