X
Jumaat, 15 March 2019 | 3:37pm
DUA lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan maut di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Mentakab. - Foto ihsan polis
DUA lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan maut di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Mentakab. - Foto ihsan polis

Dua pemandu maut kereta bertembung

TEMERLOH: Dua lelaki maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab, di sini, malam tadi.

Nahas jam 11.55 malam itu menyebabkan Liew Kwong Fai, 42, yang memandu kereta Nissan Almera dari Bahau, Negeri Sembilan dan pemandu PROTON Iswara, Hairol Asyraf Mohammad, 23, dari FELDA Lakum di sini, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Kwong Fai dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta PROTON Iswara yang dipandu Hairol Asyraf.

Katanya, pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus kemudian.

“Dua lagi penumpang PROTON Iswara iaitu Sufi Salihin Mohd Puad Norasid, 17, cedera di perut dan kepala manakala N Kesavan, 18, luka di muka serta kaki kanan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Zundin berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan sedikit berselekoh serta tidak rata.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua kenderaan juga sudah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan,” katanya.

Berita Harian X