Ahad, 17 March 2019 | 2:39pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Penipuan pinjaman makin serius di Sarawak

KUCHING : Seorang jururawat dan seorang pekerja pelantar minyak menjadi mangsa terbaharu penipuan pinjaman yang tidak wujud di Sarawak dengan kedua-dua kes itu berlaku di Miri.

Dalam kejadian pertama Jumaat lalu, seorang jururawat berusia 32 tahun kerugian sebanyak RM2,160 selepas diperdaya sindiket berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata mangsa terpedaya selepas menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pinjaman.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menawarkan pinjaman dan selepas mendengar penerangan, mangsa berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

“Suspek kemudiannya memberitahu bahawa mangsa perlu membuat pembayaran takaful insuran sebanyak RM2,160 bagi memproses pinjaman itu.

“Sabtu lalu, mangsa yang memang terdesak memerlukan wang mengikut sahaja arahan suspek dan membuat transaksi ke akaun bank suspek sebanyak RM2,160 sebagai bayaran insurans takaful yang diminta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, selepas transaksi itu dibuat, suspek gagal dihubungi dan mangsa menyedari dia menjadi mangsa penipuan.

Mustafa Kamal berkata, semalam seorang lelaki yang bekerja di pelantar minyak pula menjadi mangsa sindiket yang memperdaya dengan modus operandi sama.

“Lelaki itu kerugian sebanyak RM3,400 selepas suspek memintanya membayar dalam jumlah itu untuk insurans takaful bagi pinjaman berjumlah RM15,000 yang dikehendakinya dan mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas suspek, iaitu seorang wanita memberi pelbagai alasan ketika dia bertanya status pinjamannya,” katanya.

Beliau berkata, kes penipuan pinjaman semakin membimbangkan apabila sebanyak 220 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM1.5 juta.

“Tahun ini sahaja, sebanyak 35 kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM244,295,” katanya.

Berita Harian X