Ahad, 17 March 2019 | 3:10pm
Mohd Haziq Mohd Tarmizi.
Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

Malaysia pantau kes kehilangan Mohd Haziq

GEORGETOWN: Malaysia sentiasa memantau perkembangan kehilangan Mohd Haziq Mohd Tarmizi susulan serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand, kelmarin.

Setiausaha Kedua, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Muhammad Azhari Azmi, berkata pihaknya kini sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Luar New Zealand bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Setakat ini, kita sudah tekankan kepada pihak hospital dan polis bahawa penting untuk mendapatkan maklumat tentang Mohd Haziq, 17, secepat mungkin.

"Berdasarkan perbualan bersama ibu Haziq petang tadi, polis hanya akan berurusan dengan keluarga, selain ibu remaja berkenaan akan berjumpa dengan pihak berkuasa di sebuah lokasi untuk mengesahkan nama beliau (Mohd Haziq) bagi mengelakkan tersilap maklumat.

"Sebarang perkembangan terkini hanya akan dimaklumkan polis kepada ibu Mohd Haziq dan kita bekerjasama erat dengan beliau untuk berkongsi maklumat, sebelum didedahkan kepada umum," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Berita Harian X