Ahad, 17 March 2019 | 9:06pm
DUA sahabat lemas ketika mandi di Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak dekat Batu Kurau, tengah hari tadi. - Foto ihsan pembaca

Dua sahabat lemas di Air Terjun Bukit Raja

TAIPING: Dua sahabat lemas ketika mandi di Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak dekat Batu Kurau di sini tengah hari tadi.

Mohammad Furqan Mohamad Yahaya dari Kampung Perak Batu Kurau dan Mohd Zaid Aqwah Putra, dari Kampung Sungai Ara Batu Kurau, yang masing-masing berusia 20 tahun, ditemui orang ramai di dasar sungai berkenaan pada kedalaman 3.6 meter.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.45 tengah hari.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka pergi ke sungai berkenaan pada jam 1 tengah hari untuk mandi.

“Pada awalnya seorang daripada mereka dipercayai hampir lemas ketika mandi menyebabkan seorang lagi rakannya cuba membantu tetapi malangnya kedua-duanya lemas.

“Dua lagi rakan meminta bantuan orang kampung bagi membantu mencari rakan yang lemas dan kedua-dua mangsa kemudian dijumpai di dalam dasar sungai berkenaan pada kedalaman 3.6 meter,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Osman berkata, kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan punca kematian adalah disebabkan lemas.

Katanya, kedua-dua mangsa juga telah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Berita Harian X