Isnin, 18 March 2019 | 6:05pm

Dituduh cederakan isteri dengan bakul baju

AYER KEROH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memukul isterinya sehingga cedera pada Februari lalu.

Tertuduh, Uzair Abd Kadir, 42, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa yang berusia 35 tahun dengan menggunakan sebuah bakul baju.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah pangsa, di Pantai Peringgit, di sini, kira-kira jam 9 pagi, pada 13 Februari 2019.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh, Uzair Abd Kadir, 42, (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Asul Azli Samad
Berita Harian X