Isnin, 18 March 2019 | 7:17pm
KUNJUNGAN Kapal Korea Coast Guard di Jeti Boustead Cruise Centre, Persiaran Pelabuhan Barat, Pulau Indah. - Foto Saddam Yusoff

Korea dan PPM jalani latihan bersama

PELABUHAN KLANG: Delegasi Kapal Latihan Korea Coast Guard KCG 3011 (BADARO) tiba di sini pagi tadi bagi sesi latihan serta mengukuhkan kerjasama dengan Pasukan Polis Marin (PPM).

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (GERAKAN) KDNKA Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, delegasi membabitkan 116 anak kapal itu diketuai oleh Pengarah Latihan KCG, Senior Superintendan Ko Myung Suk.

Beliau berkata, kehadiran selama empat hari di Pelabuhan Klang antara lain untuk menjalani latihan bersama PPM, mengeratkan kerjasama, serta memahami budaya kerja antara dua badan penguatkuasaan undang-undang di laut.

Katanya, selain sebagai pusat latihan secara praktik, kapal itu juga mempunyai keupayaan dalam mempertahankan laut Korea Selatan serta menjadi kebanggaan negaranya.

"Sekiranya PPM mempunyai kapal besar seperti ini, amat sesuai untuk menjamin keselamatan laut, terutama membabitkan jarak perjalanan laut antarabangsa di Laut China Selatan dan Selat Melaka, serta Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat kapal terbabit sempena Program Capacity Building dan Kunjungan Kapal Korea Coast Guard di Jeti Boustead Cruise Centre, Persiaran Pelabuhan Barat, Pulau Indah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail.

Sementara itu, Myung SUK berterima kasih atas sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh PPM.

"Saya juga berharap kerjasama dua hala ini akan berjaya dan berterusan di masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata polis akan memastikan keselamatan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau di Negeri Sembilan terjamin.

Katanya, polis sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi PRK itu agar orang awam dapat mengundi dengan suasana aman.

Berita Harian X