Selasa, 19 March 2019 | 4:13pm
KOTA BHARU 19 MAC 2019. ( KABURKAN MUKA ) Seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap merogol anak tirinya, berumur 12 tahun di Guchil Lama, Kuala Krai pada April 2016 lalu. NSTP/MUHAMAAD RAZIS ISMAIL

Balasan rogol anak tiri

KOTA BHARU: Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 37 tahun menukar pengakuan kepada bersalah.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berumur 12 tahun di Guchil Lama, Kuala Krai pada jam 4 petang, April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan mengambil kira kesalahan pertama dan anak tertuduh perlu menjalani rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memohon hukuman berat berikutan kesalahan serius dengan merogol anak tiri.

“Tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada anak tirinya sebaliknya perbuatan yang dilakukannya juga memberi impak kepada fizikal dan mental mangsa,” katanya.

Berita Harian X