Selasa, 19 March 2019 | 11:27pm
SEPASUKAN empat pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah terbabit kemalangan di Parit. - NSTP/Ihsan PDRM

Empat termasuk tiga anggota polis parah nahas

SERI ISKANDAR: Sepasukan empat pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang baru selesai operasi di Parit, di sini, terbabit kemalangan dengan sebuah kereta, mengakibatkan empat cedera termasuk tiga parah.

Nahas kira-kira jam 5 petang di Kilometer 5, Jalan Baru Seri Iskandar - Parit itu membabitkan pacuan empat roda dinaiki pasukan polis terbabit dan Perodua Viva.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, anggota yang parah adalah Sarjan Noor Hellmey Shabidi, 36, dan Sarjan Siti Salbiah Ishak, 29, manakala Inspektor Mohd Hayat Eree, 33, cedera dan Koperal Mohd Hayazi Mat Isa, 30, terselamat.

Katanya, pemandu Viva, K Sokhan, 46, juga parah dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Noor Hellmey memandu Mitsubishi Pajero bersama tiga yang lain menghala Seri Iskandar selepas selesai operasi di Parit.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Viva yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan Pajero sebelum kedua-duanya bertembung.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X