Selasa, 19 March 2019 | 11:34pm
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri) menampal notis perintah tutup pada restoran masakan Thailand yang beroperasi di Pusat Kormesial @Ayer 8, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri) menampal notis perintah tutup pada restoran masakan Thailand yang beroperasi di Pusat Kormesial @Ayer 8, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Restoran saji makanan berkulat diarah tutup

PUTRAJAYA: Sebuah restoran masakan Thailand yang beroperasi di Presint 8 di sini, diarah tutup dua minggu bermula hari ini kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

Arahan itu dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj) selepas operasi bersepadu di sini, hari ini.

Presidennya, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata operasi bermula 2.30 petang dan berakhir jam 5 petang itu turut memeriksa lima premis dan sebanyak 10 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, premis makanan itu diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 selepas markah penilaian kebersihan premis di bawah 64 peratus.

“Sebelum ini, premis berkenaan diberikan gred B atas faktor kebersihan. Dalam operasi itu, kami mendapati premis itu menyimpan makanan yang sudah berkulat di dalam sebuah peti ais yang rosak.

“Selain itu, premis sama turut melakukan kesalahan lain termasuk membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak meletakkan tong sampah di tempat yang ditetapkan dan menyalurkan air ke dalam longkang utama yang mengalir ke dalam tasik,” katanya.

Aminuddin berkata, premis yang diarah tutup boleh mengemukakan permohonan awal untuk membuka semula perniagaan selepas kerja pembersihan diadakan serta mendapat kelulusan PPj.

“Bermula awal tahun sehingga Februari lalu, PPj mengeluarkan sebanyak lapan kompaun dan empat notis amaran termasuk memberikan 15 penggredan A manakala 20 premis lagi mendapat penggredan B.

“Hasil pemantauan mendapati, masih terdapat segelintir pemilik premis makanan yang mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing,” katanya.

Berita Harian X