Rabu, 20 March 2019 | 12:36am
JENAZAH Mohammad Firdaus Ismail ditemui selepas lebih dua jam lemas dalam kejadian di sungai Kampung Tebing Tinggi. - NSTP/Nor Amalina Alias

Rakan sempat rakam detik akhir mangsa lemas

PASIR PUTEH: “Be, be, aku lemas,” itu jeritan akhir remaja, Mohammad Firdaus Ismail, 15, yang sempat dirakam rakannya sebelum lemas di sungai Kampung Tebing Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mayat mangsa ditemui pihak bomba kira-kira 11 meter daripada lokasi kejadian, selepas lebih dua jam hilang pada jam 9.09 malam.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, dipercayai keluar berjoging bersama abangnya, Mohammad Ezri Syam, 17 dan dua rakannya petang semalam sebelum mereka cuba menyeberangi sungai sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, berkata ketika mereka menyeberang sungai itu, mangsa secara tiba-tiba lemas.

“Dalam rakaman video menunjukkan, mangsa bersama abang dan rakannya turun ke dalam sungai manakala seorang lagi rakan sedang membuat rakaman video.

“Mangsa dan rakannya dipercayai baru saja turun ke sungai sebelum dia menjerit lemas.

“Rakan dan abangnya kemudian menghubungi bomba dan ahli keluarga untuk menyelamatkan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.20 malam sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari mangsa dijalankan menggunakan kaedah carian dasar dan tidak lama kemudian, kita berjaya menemui mangsa pada kedalaman tiga meter,” katanya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X