Rabu, 20 March 2019 | 12:50pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kes rasuah ahli perniagaan dibicarakan di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Kes seorang ahli perniagaan didakwa memberi rasuah RM1 juta kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak di sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali untuk memindahkan kes rasuah Datuk Tan Eng Boon, 70, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini menolak permohonan peguam Faisal Moideen yang mewakili Eng Boon untuk menggantung keputusan itu sementara menunggu arahan anak guamnya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, atas alasan pihak pembelaan mempunyai masa yang cukup berbuat demikian memandangkan kes belum lagi didaftarkan di Mahkamah Tinggi.

Mohamwd Zaini berkata, selepas kes rasuah berkenaan didaftarkan di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan boleh memohon untuk kes dibicarakan bersama kes rasuah dihadapi Tengku Adnan.

Ini berikutan Lailawati memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Eng Boon dibicarakan bersama kes Tengku Adnan, tetapi Faisal mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Pada 15 November 2018, Eng Boon yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 69, iaitu wang RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Eng Boon dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Eng Boon juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima wang tunai RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Eng Boon sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – BERNAMA

Berita Harian X