Rabu, 20 March 2019 | 7:12pm
ku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Eizairi Shamsudin

Seorang lagi ditahan hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR: Seorang lagi individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW ditahan polis, semalam.

Sumber berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 43 tahun itu dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah restoran di Bandar Kinrara, Puchong, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, turut dirampas daripada lelaki itu adalah sebuah telefon bimbit.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).

“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi BH, mengesahkan tangkapan terbabit.

Sebelum ini, empat individu sudah ditahan polis kerana menghina agama Islam termasuk Nabi Muhammad dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.

Suspek pertama adalah lelaki berusia 29 tahun yang menggunakan nama ‘Bakakuk’ dalam akaun media sosial miliknya, ditahan di Labuan, Sabah, pada 4 Mac lalu diikuti suspek kedua sehari kemudian membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang menggunakan nama ‘Ayea Yea’ dalam akaun Facebook miliknya yang ditahan di Bau, Sarawak.

Suspek ketiga lelaki berusia 52 tahun yang menggunakan nama ‘Yazid Kong’ dalam akaun Facebook miliknya, ditahan dalam serbuan ke atas satu lokasi di Petaling Jaya.

Tangkapan keempat pula membabitkan lelaki yang menggunakan nama ‘Alvin Chow’ di pusat beli-belah Plaza Pudu, pada 6 Mac lalu.

Berita Harian X