Rabu, 20 March 2019 | 10:30pm

Belasah, bakar isteri kerana cemburu

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki bukan saja membelasah isterinya, malah turut menyimbah petrol sebelum bertindak membakar wanita itu di kediaman mereka di Kampung Permatang Gedung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa warga Indonesia berusia 30an bagaimanapun sempat memadamkan kebakaran yang menyebabkannya melecur di perut dan tangan kiri sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata mangsa pada mulanya bertengkar dengan suaminya berusia 43 tahun apabila suspek menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia berada di dalam penjara.

“Mangsa bagaimanapun menafikan berlaku curang dan menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan bertindak memukul dan menendangnya.

“Suspek kemudian mengambil sejenis cecair dan terus menyimbah ke arah mangsa dan menyebabkan wanita itu masuk ke dalam bilik air untuk mandi namun terhidu bau petrol.

“Lelaki warga tempatan itu bertindak menyalakan api dan menghala ke arah mangsa menyebabkan bajunya terbakar dan dia terus berlari ke dalam bilik untuk memadamkan api,” katanya ketika dihubungi.

Adzli berkata, mangsa turut menghubungi pihak polis yang bertugas di Pondok Polis Taman Sejati sebelum anggota tiba di lokasi beberapa minit kemudian dan menahan suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesan melecur di perut dan tangan kiri dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim.

“Suspek ditahan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Berita Harian X