Jumaat, 22 March 2019 | 1:30pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Polis rampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta

PASIR GUDANG: Polis merampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta di Ulu Tiram, Johor, Selasa lalu yang disifatkan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata rampasan itu hasil risikan bersama PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak dua minggu lalu.

Katanya, ini adalah kejayaan terbesar PDRM melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai transit.

“Hasil risikan bersama PDRM, Jabatan Kastam dan APMM, tiga serbuan besar-besaran dilakukan antara jam 7.30 hingga 10 pagi Selasa lalu di Taman Desa Cemerlang dan Taman Pelangi Indah.

“Dalam serbuan pertama di Taman Desa Cemerlang, polis menahan tiga suspek lelaki berusia antara 35 hingga 48 tahun bersama sebuah kontena yang di dalamnya terdapat 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta yang disembunyikan dalam sebuah ladang sawit.

“Syabu berkenaan disembunyikan dalam 2,000 bungkusan teh Cina Guanyingwang dan dianggarkan boleh digunakan seramai 10.3 juta penagih.

“Dalam serbuan kedua, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram dan menahan dua suspek berusia 45 dan 49 tahun.

“Serbuan ketiga pula dilakukan di Taman Desa Cemerlang dengan seorang suspek lelaki berusia 45 tahun ditahan dan sebuah kenderaan turut dirampas.

“Dalam serbuan berkenaan polis turut merampas tujuh kenderaan mewah, tiga jam mewah, pelbagai barang kemas, wang tunai RM6,270 yang membawa nilai keseluruhan RM489,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Seri Alam, dekat sini,hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Johor , Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubir Mat Som dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Sementara itu,Mohmad berkata, semua suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini direman sehingga 27 Mac ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan membawa masuk dadah berkenaan menerusi jalan laut dari negara ‘Segi Tiga Emas’ dadah iaitu Thailand, Myanmar dan Kemboja.

“Malaysia dipercayai dijadikan negara transit sebelum ia dihantar ke negara termasuk Singapura, Indonesia, Filipina, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

“Dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina Guanyingwang ini juga taktik yang sudah diguna sejak 2012,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X