Jumaat, 22 March 2019 | 3:03pm

Mengaku tidak salah hina Agong

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun dan pekerja khidmat pelanggan wanita masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini terhadap tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook.

Tertuduh, Sharil Mohd Sarif, 36, dan TR Thurkai Devi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Sharil Chain’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada jam 11.30 pagi, 13 Mac lalu.

Thurkai Devi pula didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook ‘Thurkai Devi Tangga Raja’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca di laman profil Facebook ‘Belenggu Fatamorgana’ di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dang Wangi, di sini pada jam 11.17 pagi, 4 Jun 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kedua-dua tertuduh melakukan penghinaan terhadap pemimpin tertinggi negara.

Beliau berkata, saban hari ada saja penghinaan terhadap institusi diraja, Yang di-Pertuan Agong, nabi dan agama dimuat naik di media sosial.

“Jika jaminan yang rendah diberikan dikhuatiri akan menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat bahawa penghinaan yang teruk bukanlah satu kesalahan serius,” katanya.

Bagi Thurkai Devi, Mohd Sophian berkata apa yang dilakukan wanita itu adalah serius apabila menghina Yang di-Pertuan Agong, iaitu ketua kepada negara dengan perkataan yang sangat menghina, meletakkan Yang di-Pertuan Agong seolah-olah individu yang tiada kedudukan dalam negara.

Peguam M Dinesh yang mewakili Sharil dan Thurkai Devi secara pro bono (tanpa bayaran atau sukarela) memohon kedua-dua diberikan jaminan dengan alasan mereka memberi kerjasama yang baik ketika siasatan polis.

Shamsudin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 8 April ini.

Berita Harian X