Jumaat, 22 March 2019 | 5:28pm
Dr Ahmad Hafizam Hasmi ketika ditemui di kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Kecederaan Adib bukan seperti dipukul - Pakar forensik

SHAH ALAM: Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Muhammad Adib Mohd Kassim berpandangan corak kecederaan yang dialami anggota bomba itu tidak padan dengan kecederaan dipukul.

Saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi, berkata ia berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) Adib bukan seperti kecederaan biasa dialami seseorang yang dipukul dengan objek tumpul, ditendang dan ditumbuk.

Katanya, penemuan itu diperoleh selepas beliau melakukan pemeriksaan dalaman bersama Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmud, kira-kira jam 1 pagi, pada 18 Disember 2018 terhadap mayat Adib yang diterima pada jam 12.36 tengah malam hari yang sama.

“Tiada kecederaan di muka, kepala dan abdomen selain anggota atas serta bawah yang berpadanan dengan hentaman objek tumpul kerana mempertahankan diri,” katanya ketika memberi keterangan dalam prosiding inkues punca kematian Adib, 24, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Ahmad Hafizam, yang turut terbabit dalam bedah siasat kes berprofil tinggi pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais sebelum ini, memberitahu mahkamah tujuh tulang rusuk kiri bahagian belakang Adib turut patah selain empat tulang rusuk kanan di bahagian depan.

Katanya, ketujuh-tujuh tulang rusuk itu patah dalam susunan garis lurus yang menegak dan kepatahan berkenaan jelas dapat dilihat ketika bahagian terbabit diperiksa.

“Pada tulang satu dan dua, kepatahan dikesan dalam tulang manakala rusuk selebihnya mengalami kepatahan penuh,” katanya.

Saksi sama berkata, berdasarkan corak luaran dan dalaman yang dikesan pada jasad Adib, beliau serta pasukan diminta hadir untuk membantu lakonan semula kejadian di lokasi pada 22 Disember 2018, selepas Adib meninggal dunia.

Katanya, ketika di lokasi, pegawai penyiasat polis memberitahu, saksi kejadian iaitu pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Ahmad Shahril Othman, berkata Adib tiada dalam kenderaan berkenaan ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) mengundur secara tiba-tiba hingga menyebabkan bahagian belakang FRT menghentam bahagian hadapan EMRS ketika rusuhan itu.

Dr Ahmad Hafizam berkata berdasarkan maklumat itu dan corak kecederaan mangsa, beliau berpendapat ketika kejadian, Adib yang berada di luar EMRS berada pada posisi berdiri sambil menghadap belakang dan kecederaan dialaminya berlaku dengan pantas, kira-kira 10 saat.

“Bahagian kiri Adib menerima impak hentaman daripada hujung belakang pintu sisi kiri hadapan kenderaan EMRS yang terbuka dan kenderaan sedang dalam pergerakan mengundur serta mengakibatkan kepatahan pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh di bahagian belakang.

“Bahagian hujung belakang pintu hadapan kiri kenderaan EMRS yang keras, nipis serta menegak ini berpadanan untuk menyebabkan kepatahan yang seperti garis lurus menegak pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh,” katanya.

Dr Ahmad Hafizam berkata luka calar melintang pada belakang kiri boleh berpunca daripada kesan geseran pada struktur plat kunci pintu sisi kiri hadapan kenderaan EMRS. 

Katanya, impak daripada hujung belakang pintu hadapan kiri EMRS itu mengakibatkan Adib jatuh meniarap dengan keadaan bahagian atas badan terangkat manakala bahagian rusuk kanan terhentak dan bergesel dengan kuat pada permukaan keras seperti jalan raya atau sebarang struktur keras di kawasan itu.

Katanya, kesan hentakan itu mengakibatkan kecederaan teruk pada toraks kanan Adib manakala calar pada belakang lengan kanan, belakang siku kiri dan lutut kanan berpadanan dengan cedera geseran pada permukaan keras akibat jatuh. 

“Pada pandangan saya, impak pada dada kanan si mati adalah kuat disebabkan kombinasi tolakan pintu kenderaan EMRS terhadap belakangnya dan juga momentum badan si mati yang masih ada apabila keluar daripada EMRS. 

“Bagaimanapun, laporan bedah siasat yang saya dilakukan tidak dapat menentukan sama ada si mati keluar daripada kenderaan secara sendiri atau ditarik orang lain,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat polis ada memaklumkan kepadanya tiga dakwaan berkenaan kecederaan Muhamamd Adib iaitu diserang dan dipukul; dilanggar FRT dan tersepit antara dua kenderaan bomba.

“Bagaimanapun, bukti berdasarkan corak cedera luaran dan kepatahan tulang rusuk yang diperiksa, buat masa ini saya tidak dapat dengan selamat mengenepikan dakwaan bahawa simati mengalami cedera itu akibat terhimpit antara dua permukaan yang keras hingga bukti sokongan lain yang ‘credible’ (boleh dipercayai) diperoleh,” katanya.

Pendengaran inkues di hadapan Koroner Rafiah Mohamad bersambung Selasa ini.

Berita Harian X