Isnin, 25 March 2019 | 12:37pm
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah menyerahkan sijil kepada anggota dan pegawai polis semasa Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke 22, Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

Sindiket dadah guna taktik baharu

SEPANG: Polis mengesan modus operandi baharu sindiket dadah menggunakan warga dari negara tertentu untuk dijadikan keldai dadah berbanding warga tempatan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata antara negara ‘panas’ yang dikenal pasti aktif menggunakan modus operandi berkenaan ialah Taiwan, Korea dan Jepun.

Katanya, semua keldai dadah terbabit ditawarkan dengan gaji lumayan antara RM2,000 hingga RM10,000 untuk membawa keluar dadah berkenaan ke lokasi terpilih.

“Modus operandi sindiket terbabit sudah berubah, jika dulu mereka menggunakan warga tempatan untuk membawa keluar dadah tetapi sekarang ini sindiket menggunakan orang sendiri. Maksudnya jika dia cuba membawa masuk dadah ke Taiwan, mereka akan guna orang Taiwan dan begitulah sebaliknya.

“Jadi pihak polis akan tingkatkan pemeriksaan terutamanya membabitkan penumpang yang menaiki penerbangan ke tiga negara terbabit,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke 22, Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, di sini hari ini.

Zulkifli turut menasihatkan sesiapa sahaja yang menerima tawaran berkenaan supaya tidak mudah terpedaya dengan ganjaran yang diberikan sindiket.

“Individu yang mendapat tawaran berkenaan seharusnya membuat tapisan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menerima pekerjaan itu kerana tawaran yang dibuat adalah palsu.

“Sindiket ini banyak menggunakan media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp dan WeChat untuk menyebarkan mengenai pekerjaan dengan gaji yang lumayan.

“Kebanyakan individu yang sudah terjerat ini tidak boleh patah balik, mereka terpaksa membawa dadah berkenaan ke lokasi yang dituju dan sekiranya berjaya baru bayaran akan dibuat.

“Jadi kita mahu masyarakat lebih berhati-hati dan tidak mudah menerima sebarang tawaran seperti itu kerana hukuman yang menanti sangat berat,” katanya.

Berita Harian X