Isnin, 25 March 2019 | 3:46pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

19 murid madrasah didera oleh 'Ustaz Zainal'

KUANTAN: Dirotan, dicubit, ditampar dan dimaki hamun, itu yang terpaksa dilalui seramai 19 murid di sebuah madrasah di Jaya Gading sepanjang mereka mengikuti pembelajaran di madrasah itu.

Perkara itu terbongkar selepas bapa kepada salah seorang murid membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 19 Mac lalu minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, berkata ibu mangsa menyedari kejadian itu selepas mangsa menceritakan kepadanya ketika melawat anaknya pada 16 Mac lalu kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, mangsa yang berusia 9 tahun mula mendaftarkan diri di madrasah berkenaan pada 1 Februari lalu dan sejak itu beliau sering dipukul dan kejadian terbaru berlaku pada 15 Mac di mana mangsa dirotan di belakang badan, kaki dan tangan serta dicubit.

“Siasatan mendapati madrasah berkenaan adalah sebuah surau yang diubahsuai menjadi pusat tahfiz dan asrama pelajar dengan hanya ada seorang saja guru yang mengajar dikenali sebagai ‘Ustaz Zainal’.

“Berdasarkan keterangan dua murid yang berusia 9 dan 11 tahun, semua murid di madrasah itu sering dipukul menggunakan rotan oleh Ustaz Zainal jika mereka melakukan kesalahan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal pada kedua-dua mangsa mendapati ada kesan rotan di badan serta cubitan.

Othman berkata, madrasah itu mempunyai 19 murid yang berusia 8 hingga 15 tahun dan mereka mendakwa turut didera secara seksual iaitu dicium pada mulut.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan Ustaz Zainal berkenaan, yang didapati melarikan diri selepas mengetahui keluarga mangsa membuat laporan polis.

“Siasatan kita juga mendapati suspek yang berusia 46 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan yang sama iaitu di Gadek, Melaka pada 2013 dan di Bachok, Kelantan pada 2016.

“Kita kini sedang giat mengesan suspek dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Berita Harian X