Rabu, 27 March 2019 | 2:01pm

'Cik Miera' mohon maaf kepada pakar forensik

SHAH ALAM: Pemilik akaun Facebook Cik Miera yang menghentam kenyataan doktor forensik berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di laman sosial Jumaat lalu, memohon maaf kepada doktor berkenaan di Mahkamah Koroner hari ini.

Pemilik akaun Facebook berkenaan, Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, yang bertugas sebagai jururawat di Institut Jantung Negara (IJN), turut membuat permohonan maaf kepada semua pihak kerana kritikannya itu menyebabkan berlakunya kekecohan.

“Saya mintak maaf kepada doktor (Dr Ahmad Hafizam Hasmi) kerana bertindak atas emosi tanpa memikirkan fakta sebenar kejadian. Semasa memuat naik paparan itu, saya percaya Adib dipukul tetapi tidak tahu kejadian sebenar.

“Selepas melihat bukti dan fakta sebenar, saya yakin doktor beri keterangan berdasarkan kepakarannya,” katanya ketika menjadi saksi ke-25 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Dalam prosiding sama, Siti Syafika Amira mengaku di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bahawa hantaran kritikan itu dibuat kerana mengikut emosi.

Katanya, dia berasa sedih dengan laporan berita berkenaan keterangan Dr Ahmad Hafizam itu kerana melihat kesedihan yang ditanggung keluarga serta tunang Muhammad Adib sepanjang anggota bomba itu dirawat di IJN.

“Sepanjang Adib di sana, saya lihat keluarganya, tunangnya dalam keadaan menangis.

“Saya lihat anggota bomba tidur di kerusi menunggu setiap hari. Saya dapat rasakan hubungan kekeluargaan yang kuat,” katanya.

Semalam, saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, ketika memberikan keterangan, melahirkan rasa sedih sejurus membaca status Facebook yang didakwa daripada seorang individu berhubung kecederaan yang dialami Muhammad Adib.

Dr Ahmad Hafizam dalam keterangannya di mahkamah, berkata status dalam akaun Facebook yang dikenali sebagai Cik Miera itu menyebabkan beliau berdepan dengan cacian dan dianggap berbohong sewaktu memberi keterangan Jumaat lalu berkenaan pandangannya bahawa corak kecederaan yang dialami anggota bomba itu tidak padan dengan kecederaan dipukul.

Terdahulu, Siti Syafika Amira, yang sudah enam tahun bertugas sebagai jururawat, turut memberitahu beliau diarahkan untuk membantu doktor bagi memasang alat bantuan pernafasan (ECMO) di tubuh Muhammad Adib pada 28 November tahun lalu.

ZHAFRAN: Kamu ada lihat Adib, bagaimana keadaan dia?

SITI SYAFIKA: Seluruh badan dia bengkak, dada kanan dia ada bruises (lebam), ada salur tiub pada belah kanan.

ZHAFRAN: Selain itu, ada apa-apa lagi?

SITI SYAFIKA: Bengkak dan lebam pada pangkal peha. Tetapi, saya tidak pasti belah mana.

ZHAFRAN: Selain itu, apa kecederaan lain?

SITI SYAFIKA: Scrotum ( kantung buah zakar) dia membesar macam belon.

ZHAFRAN: Keadaan muka dia?

SITI SYAFIKA: Keadaan dia pada masa itu, saya tak pasti, yang saya lihat muka dia bengkak dan dada dia ada lebam.

ZHAFRAN: Dia sedar masa itu?

SITI SYAFIKA: Tak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, Datuk Dr Suneta Sulaiman ketika dipanggil kali kedua, berkata Siti Syafika tidak layak memberikan kenyataan berhubung kecederaan anggota bomba itu kerana tidak mempunyai kepakaran dalam hal itu.

"Saya rasa sebagai jururawat di bilik pembedahan, dia tidak mempunyai kepakaran.

"Ini bukan bidang kepakaran dia untuk beri kenyataan kepada kecederaan pesakit," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah.

JURURAWAT Institut Jantung Negara (IJN), Siti Syafika Amira Mohd Rasani hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X