Rabu, 27 March 2019 | 5:10pm
KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Suspek warga Singapura dikehendaki sudah dikenal pasti

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengenal pasti identiti individu warga Singapura yang dipercayai pemilik kilang terbabit dalam kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, 7 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti individu berkenaan dan menyalurkan maklumat kepada polis negara itu.

“Kami (polis) bagaimanapun tidak akan menyiarkan nama kilang atau individu berkenaan kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Kita bekerjasama dengan polis republik berkenaan...ya kami sudah mengenal pasti identitinya... usaha sama sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, menyebabkan lebih 4,000 penduduk terutama murid dan pelajar sekolah terpaksa mendapatkan rawatan awal akibat sesak nafas, pening kepala, loya dan muntah.

Akibat kejadian itu, kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan ditutup dan hanya dibuka semula hujung bulan ini.

Seramai 11 individu ditahan bagi membantu siasatan dengan tiga orang termasuk seorang warga Singapura didakwa di mahkamah, manakala baki lapan dibebaskan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berita Harian X