Rabu, 27 March 2019 | 8:58pm
GAMBAR Ashraf dirakam ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gunung Tempurung, Gopeng, Perak, Sabtu lalu sebelum hilang. - Foto E-mel

Operasi SAR Ashraf dilanjutkan hingga Sabtu

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan yang hilang ketika menyertai acara larian lasak, Gopeng Ultra Trail (GUT) di kawasan Gua Tempurung pada Sabtu lalu dilanjutkan hingga Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa pada jam 1.09 pagi Ahad lalu sebelum menggerakkan anggotanya ke lokasi kejadian bagi menjejaki mangsa.

Katanya, proses pencarian mangsa hilang itu dijangka berlanjutan hingga Rabu namun berikutan mangsa belum ditemui, operasi SAR itu dilanjutkan.

“Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari ini, mangsa gagal ditemui dan perkembangan itu mengakibatkan operasi SAR itu dilanjutkan hingga Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razaruddin berkata, polis bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) memulakan operasi SAR pada 10.30 pagi Ahad lalu.

“Operasi itu turut dibantu pihak penganjur dari GUT 2019 dan sukarelawan, yang keseluruhannya termasuk pasukan penyelamat membabitkan seramai 170 orang,” katanya.

Kehilangan Mohammad Ashraf, 29 yang bekerja sebagai juruteknologi makmal Klinik Kesihatan Daerah Muar itu masih menjadi misteri meskipun hanya botol air digunakannya ditemui, namun usaha SAR masih belum menemui petunjuk lain untuk menjejaki mangsa .

Berita Harian X