Jumaat, 29 March 2019 | 11:35am

Pembantu tadbir didakwa palsu tuntutan rawatan kesuburan RM209,233

KUANTAN: Seorang pembantu tadbir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini, dengan 32 tuduhan membuat tuntutan palsu rawatan kesuburan berjumlah RM209,233 antara 2014 hingga 2017.

Tertuduh, Mazuin Zulkifli, 33, yang didakwa di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib, melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Bahagian Pembangunan) di Jabatan Perhutanan Pahang dengan mengemukakan tuntutan menggunakan Borang Perubatan bagi tujuan rawatan kesuburan di Pusat Fertiliti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.

Tertuduh yang kini bertugas di Jabatan Pertanian Pahang, mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,243 hingga RM9,000 menggunakan Borang Perubatan dan resit berkaitan rawatan yang sedang dilakukan di pusat fertiliti berkenaan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Pahang, dekat Indera Mahkota, setiap awal bulan sehingga perbicaraan kes itu selesai.

Hakim Mohd Ghazali bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan mengekalkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 April ini bagi tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

Mazuin dibawa ke Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung kes tuntutan palsu sewaktu bertugas di dua jabatan kerajaan antara 2014 hingga 2017. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X