Jumaat, 29 March 2019 | 4:38pm
Tertuduh (kanan) dihukum penjara 55 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram serta mencabul adiknya dua tahun lalu. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Nodai adik, lelaki dipenjara 55 tahun

KLANG: Seorang mekanik sambilan dihukum penjara 55 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram serta mencabul adiknya dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary, pagi tadi.

Kunasundary turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Mac lalu.

Kunasundary dalam penghakimannya berkata, tertuduh yang juga anak kedua daripada lima beradik itu diumpamakan sebagai harapkan pegar, pegar makan padi.

“Sepatutnya tertuduh membimbing, melindungi darah dagingnya, namun apa yang dilakukan hanya memuaskan nafsu dan perbuatan sebegini perlu dibendung,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, iaitu memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 14 tahun satu hari pada Mac 2017.

Bagi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan sumbang mahram terhadap mangsa sama pada Mei, Ogos 2017 serta Julai 2018 lalu dan semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Sabak Bernam.

Tertuduh dihukum penjara selama 45 tahun dan 13 sebatan bagi semua pertuduhan untuk ketiga-tiga kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah memohon hukuman berat dijalankan secara berasingan atas alasan tidak dapat mengembalikan kesucian mangsa yang hilang.

Katanya, tertuduh pada suatu hari akan keluar dari penjara sekiranya dipanjangkan umur namun kesan dan trauma mangsa kekal hingga akhir hayat.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mengadu pada pengetua di sekolahnya pada 8 Mac lalu dan memberi pengakuan bahawa dirinya diperkosa tertuduh sejak berusia enam tahun.

Pengetua sekolah itu kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seterusnya mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk membuat laporan polis.

Berita Harian X