Ahad, 7 April 2019 | 7:05am
Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) murid tahun empat SK Manir, Ahmad Akil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, dari Jalan Tualang Manir, yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir. - Foto ihsan Bomba

Operasi SAR budak lemas sambung pagi ini

KUALA TERENGGANU: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) budak lelaki berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir, di sini dihentikan jam 11 malam tadi.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar, berkata operasi SAR menggunakan kaedah selaman dilakukan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu bermula jam 9 malam.

Bagaimanapun katanya, keadaan arus yang kuat menyebabkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi selepas dua jam melakukan selaman.

“Seramai 12 anggota dan empat pegawai dari BBP Kuala Terengganu bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam SAR ini

Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) murid tahun empat SK Manir, Ahmad Akil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, dari Jalan Tualang Manir, yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir. - Foto ihsan Bomba

“Walaupun kita menghentikan selaman, pencarian dengan kaedah pemantauan di permukaan air diteruskan dengan bantuan penduduk dan operasi SAR sepenuhnya akan disambung jam 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rozizah berkata, sebelum kejadian, mangsa, Ahmad Akil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, dikatakan ke sungai berkenaan bersama tiga rakan.

“Sebaik tiba di tebing, mangsa dikatakan turun ke sungai untuk mandi sementara tiga rakannya berada di tebing.

“Panik melihat mangsa yang dipercayai tidak pandai berenang tenggelam timbul, tiga rakan mangsa dikatakan meninggalkan kawasan berkenaan tanpa memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kehilangan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Manir itu disedari bapanya yang mencari mangsa di kawasan sungai berkenaan selepas anaknya tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang semalam.

Katanya, bapa mangsa, Ahmad Ruhaimi Mohd Rehan, 40, dari Jalan Tualang Manir, mengesyaki anak lelakinya lemas apabila menemui kasut mangsa di tebing sungai berhampiran Balai Polis Manir.

Berita Harian X