Isnin, 8 April 2019 | 1:08pm
KEADAAN bas kilang yang terbabit dalam nahas di Jalan S8 Pekeliling, malam tadi. - Foto Aizuddin Saad
KEADAAN bas kilang yang terbabit dalam nahas di Jalan S8 Pekeliling, malam tadi. - Foto Aizuddin Saad

Nahas bas pekerja: Pemandu guna laluan berbeza

SERDANG: Pemandu bas kilang yang terbabit dalam nahas mengorbankan 12 nyawa termasuk dirinya, di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi, dikatakan mengguna laluan berbeza daripada kebiasaan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata lelaki berusia 43 tahun yang membawa bersama 43 penumpang terdiri daripada pekerja kontrak MAS Kargo itu sepatutnya mengambil laluan arah jam tiga ketika tiba di Bulatan Minyak, tetapi dia tidak berbuat demikian sebaliknya, memandu ke arah jam 12.

Katanya, tindakan pemandu terbabit yang mengambil laluan lain sekali gus mengundang persoalan namun, siasatan mengenainya masih dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan berhubung laluan yang digunakan pemandu bas berkenaan sebelum nahas berlaku.

“Sepatutnya dia mengambil laluan arah jam 3 ke MAS Kargo tetapi, siasatan mendapati pemandu menghala arah jam 12 iaitu ke hangar KLIA,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati jarak dari bulatan ke lokasi kejadian adalah kira-kira 200 meter.

Katanya, selain 12 maut, enam dilaporkan kritikal yang mana empat dirawat di Hospital Putrajaya dan masing-masing seorang di Hospital Serdang dan Hospital Banting.

Kata beliau, pihak kedutaan juga sudah dimaklumkan berhubung insiden itu untuk proses dokumentasi mangsa untuk tindakan lanjut.

“Proses merekod keterangan mangsa yang terselamat akan dibuat petang ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam tadi, 12 maut termasuk pemandu warga tempatan selepas bas kilang membawa 43 pekerja kontrak MAS Kargo hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter.

Bas berkenaan berkenaan sebelum itu bergerak dari Putra Nilai, Negeri Sembilan selepas mengambil pekerja di asrama mereka untuk bertugas pada syif 12 tengah malam di MAS Kargo KLIA.

Berita Harian X