Isnin, 8 April 2019 | 5:43pm

Pekebun mengaku salah hina Agong

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya bulan lalu.

Sharil Mohd Sarif, 36, yang mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah sama pada 16 Mac lalu, menukar pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan semula ketika kes itu ditetapkan untuk sebutan semula hari ini.

Bagaimanapun, Hakim M M Edwin Paramjothy menetapkan 26 April ini untuk penjatuhan hukuman terhadap bapa empat anak itu.

Berdasarkan pertuduhan, Sharil didakwa menggunakan aplikasi Facebook miliknya bagi membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada jam 1 petang, 12 Mac lalu.

Penghantaran yang disertakan dengan sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong itu kemudian dibacakan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada jam 11.30 pagi, 13 Mac.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Sharil menerusi peguamnya, M Dinesh, memohon hukuman ringan dan penjara minimum dengan alasan tidak mampu membayar denda kerana hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal, membantah rayuan itu dan memohon pekebun berkenaan dikenakan hukuman berat kerana memuat naik kenyataan menghina Agong dengan menyerang karakter peribadi Ketua Negara.

“Ayat digunakan dalam hantarannya itu mengandungi perkataan cacian dan kejian yang melampau. Ayat ini jika diucapkan secara umum sudah tentu tidak wajar dan boleh mencetuskan pergaduhan, apatah lagi diucapkan kepada Ketua Negara yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berita Harian X